Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JERUDONG, Sabtu, 15 November. - Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (COSMO) hari ini mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-19 bertempat di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei bagi meraikan seramai 478 graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam bidang Teknologi Maklumat, Perniagaan dan Media Kreatif.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Eksekutif COSMO, Dr. Haji Aziz bin Haji Abdul Latip menjelaskan bahawa tema konvokesyen tahun ini iaitu 'Innovative Generation, Employable Nation' menggambarkan komitmen COSMO dalam melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan bersedia memasuki alam pekerjaan.
Pada majlis tersebut, Sijil City & Guilds Tahap 3 dalam Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (OHS) turut dilancarkan sebagai penawaran baharu yang dirangka khusus bagi memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja keselamatan bertauliah.
Kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ini akan memperkasakan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran praktikal dalam penilaian risiko tempat kerja, pelaksanaan protokol keselamatan serta memastikan pematuhan kepada rangka kerja kawal selia yang ditetapkan oleh Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).
Kursus tersebut turut diiktiraf oleh SHENA dan diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Nasional Brunei Darussalam (BDNAC), Kementerian Pendidikan. Dr. Haji Abdul Aziz turut menekankan bahawa penguasaan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan sikap proaktif adalah sama penting dengan pencapaian akademik.
Sehubungan itu, COSMO memberi penekanan kepada pembelajaran melalui aktiviti 'extracurricular' (ECA) dan aktiviti kokurikulum (CCA) bagi memperkukuhkan kompetensi pelajar secara menyeluruh.
Dalam perkembangan lain, rakan pembelajaran COSMO turut diberi peluang mengetuai tugasan modul serta menganjurkan pelbagai acara seperti COSMO Wonderday, COSMO Spark dan InnovateIT Day.
Selain itu, mereka juga terlibat dalam Sambutan Hari Belia Brunei melalui pameran projek Kecerdasan Buatan (AI) dan Realiti Maya (VR), manakala pelajar Media Kreatif menjalin kerjasama dengan Kedutaan Indonesia dalam bidang fotografi dan videografi.
Sejajar dengan aspirasi memperkasa pendidikan holistik dan pembelajaran berterusan, COSMO turut mencatat beberapa pencapaian baharu antaranya ialah melancarkan Sijil City & Guilds Tahap 3 dalam Operasi Logistik, memperkenalkan Program Bertauliah COSMO (CCP) bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, melancarkan Your Global Campus (YGC) sebagai platform pembelajaran dalam talian untuk pelajar antarabangsa serta menubuhkan Sports Connect, iaitu sebuah subsidiari penyiaran sukan digital.
Untuk mengakhiri ucapannya, beliau menyeru para graduan agar terus meningkatkan kemahiran diri, mengikuti perkembangan teknologi dan menimba ilmu secara berterusan demi menyokong aspirasi negara ke arah Wawasan Brunei 2035.
Majlis turut diserikan dengan pameran projek inovatif termasuk Penyiaran Sukan Digital, Sistem POS Pembelajaran Mesin, Inovasi Runcit Pintar untuk Perniagaan Moden, serta 'NextGen Safety : Brunei Towards A Safer Working Environment' oleh 'School of Logistics and Safety'.

